Welcoming :D

Tuesday, 10 May 2011

OLA desah sistem perundangan kepada pelajar

LAWATAN 22 pelajar tahun pertama dan kedua Sekolah Undang-undang Universiti Taylors (TLS) diiringi dua pensyarah mereka, Priscilly Edison dan Justina Chen ke Filipina baru-baru mencapai objektif memberikan gambaran asas mengenai sistem perundangan diguna pakai di negara berkenaan. 



Pelajar itu bukan saja dibawa mengunjungi Pejabat Bantuan Guaman (OLA), Universiti Filipina (UP) yang fungsinya seperti Biro Bantuan Guaman, malah, rombongan itu turut berpeluang mengikuti prosiding perbicaraan kes Maguindanao Massacre yang berlangsung di Hall of Justice, Bandar Quezon, Metro Manila.


Ketika di OLA, pensyarah dan pelajar diberi penerangan ringkas mengenai struktur organisasi OLA, prosedur penerimaan kes dan cadangan penyelesaian melalui prosiding mahkamah oleh kakitangannya di bawah seliaan Dekan Fakulti Undang-undang UP, Dr Theodore Te.

Kredibiliti OLA memang diakui dan terkenal bukan saja di Metro Manila, bahkan di seluruh negara berkenaan. 
Ditubuhkan pada 1970 oleh dekannya ketika itu, Irene Cortes, sebagai sebahagian tanggungjawab sosial UP kepada penduduk sekitar Manila. 

Pada awal penubuhannya, OLA berfungsi sebagai pusat rujukan pelajar tahun akhir Fakulti Undang-undang UP dan mereka hanya menawarkan khidmat kepada masyarakat empat tahun kemudian. 
Selain mengunjungi OLA, pelajar berpeluang berdialog bersama wakil Ahli Kongres Filipina, Neri Javier Colmenares selama sejam ketika melawat Dewan Perwakilan Filipina. 

Paling menarik apabila pelajar turut dibenarkan mengikuti prosiding perbicaraan ‘Maguindanao Massacre’, kes menggemparkan dunia apabila 58 orang termasuk wartawan dibunuh kejam ketika dalam perjalanan membuat liputan penamaan calon gabenor untuk wilayah berkenaan pada 23 November 2009. 

Turut terbunuh ialah calon gabenor, Esmael Mangudadatu bersama ahli keluarganya. Tragedi itu didakwa dilakukan puak yang menyokong Datuk Bandar Datu Unsay, Andal Ampatuan Jr. 

Pelajar Tahun Dua TLS, Lavin Nair, berkata program berkenaan sesuai untuk memberi ruang kepadanya memahami lebih mendalam perbezaan sistem perundangan Filipina dan Malaysia. 

“Melalui program ini, kami didedahkan sistem perundangan yang digunakan di sini (Filipina) dan sudah pastinya ia berbeza memandangkan mereka lebih cenderung mengamalkan sistem perundangan ala-Amerika, sedangkan kita lebih kepada British. 

“Walaupun konsepnya hampir sama, untuk menegakkan kebenaran, tapi proses melaksanakan sistem itu perlu mengambil kira kesesuaian setempat,” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi pelajar TLS, Pavitra Shankar, berpendapat peluang mengikuti prosiding perbicaraan ‘Maguindanao Massacre’ adalah sesuatu yang menarik dan sukar dilupakan. 

“Sebelum ini kita hanya mengetahui perkembangan kes berkenaan melalui pembacaan saja, kali ini saya dapat mengikutinya sendiri di sini. Walaupun dalam masa yang singkat, ia memberikan impak yang besar dalam pembentukan kerjaya saya masa akan datang,” katanya. 

-liesa:)),