Welcoming :D

Tuesday, 17 May 2011

Usaha Menangani Jenayah Di Negara Ini

Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupaun percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin mencuba sesuatu yang biasa mencabar. Adakah gejala ini merupakan satu kebiasaan dan tidak perlu dibanteras? Adakah gejala ini menjadi kebanggaan para remaja kini yang mampu mewujudkan pelbagai kumpulan berhaluan kiri sehinggakan tiada sebarang tindakan diambil? Mungkinkah ini salah satu cara ppergaulan yang diinginkan untuk memupuk semangat perpaduan? Tuntasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera agar tidak berleluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk melupuskan gejala ini daripada kehidupan seharian.



Usaha yang paling utama dan efisien adalah cara komunikasi dan pergaulan antara ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Ibu bapa khususnya perlu bijak dalam hal mendidk anak agar tidak terjerumus dalam perkara social seperti gejala jenayah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan yang berkaitan hal agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari perkara tersebut sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya ibu bapa pula tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Jadi ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat berlindung dan tempat mengadu masalah.



Selain itu, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah dengan mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antaranya ialah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, Polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebur bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan si penjenayah dari melakukan akiviti mereka dan seterusnya mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Bantuan daripada alat-alat teknologi pada zaman kini dapat membantu kita menyempurnakan konsep bandar dan pekan selamat. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah.



Pengenalan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk membanteras kes jenayah. Mata pelajaran PSK ini merupakan satu langkah ke arah membentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula mata pelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Kesimpulannya, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan adanya pengenalan semula mata pelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.



Selain itu, kerajaan juga boleh memperkasakan ekonomi negara bagi meningkatkan peluang pekerjaan. Bagaimana isu ini dikatakan menjadi usaha untuk mencegah jenayah yang sedang kita bincangkan ? Dengan usaha kerajaan ini, peluang pekerjaan untuk pemuda-pemudi tiang negara dapat ditingkatkan. Perkara ini dikatakan dapat mencegah jenayah kerana antara faktor seseorang melibatkan diri dalam kancah jenayah ialah kerana gagal mendapatkan pekerjaan bagi menampung hidup. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam jenayah seperti kongsi gelap, pengedaran dadah, perompak, dan sebagainya. Sekiranya mereka memiliki satu pekerjaan yang tetap, sekurang-kurangnya mereka sudah memiliki penggantungan untuk menampung hidup selain melalui cara yang diharamkan agama mahupun negara. Secara tuntasnya, antara usaha yang boleh dilakukan kerajaan bagi mencegah jenayah di Malaysia adalah dengan memperkasakan bidang ekonomi bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.



Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah juga boleh diadakan di setiap sekolah. Pelbagai kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja terutamanya peringkat sekolah rendah. Hal ini demikian kerana pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kenpem kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada pesalah. Oleh itu, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.



Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Anti Dadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan pelajar untuk senantiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial dapat didefinisikan sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Kegiatan-kegiatan jenayah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja seperti gangsterisme, vandalisme dan buli didapati semakin merosot sejurus selepaspenubuhan kelab-kalab bersifat antijenayah sosial di sekolah. Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini.



Natijahnya, terdapat pelbagai usaha yag boleh dilakukan bagi membendung jenaah sosial di negara ini. Semua pihak haruslah berganding bahu membanteras kegiatan jenayah agar aktiviti negatif ini tidak berlarutan dan bertamabh serius lagi. Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Johor (JPJ) ada mengadakan kawalan jalan raya terutamanya pada waktu malam untuk mengawasi keadaan jalan raya supaya tiada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang berlaku seperti lumba haram. Tindakan JPJ ini sememangnya wajar dilakukan agar kegiatan jenayah lain dapat dielakkan. Lama-kelamaan, mat-mat rempit enggan berlumba secara haram kerana takut akan tindakan yang bakal diambil oleh pihak berkuasa. Oleh hal yang sedemikian, jenayah-jenayah sosial dapat dikurangkan daripada terus merebak di Malaysia.